Make your own free website on Tripod.com
Sembahyang Sunat Taubat

Sembahyang sunat Taubat adalah sembahyang disunatkan. Ia dikerjakan apabila sesudah seseorang melakukan dosa, atau merasa dia telah berbuat dosa, lantas bertaubat kehadrat Allah swt.

Anjuran bertaubat ini terkandung di dalam sepotong ayat al-Quran, di dalam surah Al-Imran ayat 135:
"Maksudnya:"Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji atau menganiyai diri mereka sendiri, lantas mereka ingat kepada Allah, kemudian mereka memohon ampun atas dosa-dosa mereka itu."

Ibnu Khatir menafsirkan ayat ini bahawa adalah sangat dikehendaki kepada orang yang bertaubat kepada Allah swt. agar mengambil wuduk, kemudian sembahyang dua raka'at, sesuai dengan riwayat Imam Ahmad dari Ali Ibn Abi Thalib ra katanya yang bermaksud:
"Apabila saya mendengar Rasulullah saw bersabda, maka saya segera memanfaatkannya (melakukan perbuatan itu) sebagaiman yang diperintahkan oleh Allah. Tetapi apabila saya mendengar dari orang lain maka saya membantahnya, kecuali orang yang menyampaikan itu mahu bersumpah barulah saya mahu membenarkannya. Abu Bakar memberitahukan kepada saya dan Abu Bakar adalah orang yang jujur, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, " Seseorang yang telah berbuat dosa, kemudian berwuduk dengan wuduk yang sempurna, lantas dia sembahyang- kata Sufyan- kemudian memohon ampun kepada Allah, maka Allah " Azza wajalla akan mengampuninya."

Bertaubat dari sesuatu dosa itu ialah menyesal akan berbuatan yang dilakukan, bercita-cita tidak akan melakukannya lagi, orang yang merasakan dia sudah berbuat dosa hendaklah mengerjakan sembahyang sunat sebanyak dua raka'at dengan memperbanyakkan istighfar di dalam dirinya sendiri bahawa dia tidak akan mengulanginya lagi perbuatan keji itu selama-lamanya.

Apabila perbuatan ini dilakukan dengan sungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran, Insyaallah, segala dosa dan kesalahan yang terlanjur dilakukannya itu akan diampuni Allah swt.

Sembahyang sunat Taubat ini boleh dilakukan seberapa banyak raka'at yang dikehendaki, asalkan ianya dilakukan setiap dua raka'at, sekali salam.

Cara melaksanakannya

1. Cara melakukannya sembahyang sunat taubat ini adalah serupa dengan sembahyang sunat dua raka'at yang lain, dan lafaz serta niatnya adalah seperti berikut:
 
Ushalli sunnatat taubati rak'ataini lillahi ta'ala

Ertinya:" Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua raka'at kerana Allah ta'ala."

2. Terdapat pelbagai pilihan surah dan ayat yang elok dibaca selepas Fatihah. Salah satu pilihan ialah:
    Rakaat pertama: Ayatul-Kursi (sebelas kali).
    Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (sebelas kali)

3. Didalam sujud yang terakhir, selepas membaca tasbih biasa sewaktu sujud, bacalah tasbih ini sebanyak 40 kali. Tasbih ini dinamakan tasbih taubat.
 
Lailaahaillaa anta subhaa naka inni kuntu minaz  zhoolimiin 

Ertinya:" Tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim

4. Sesudah memberi salam maka hendaklah memperbanyak istighfar dengan memohon keampunan kepada Allah swt., seringkas-ringkasnya dengan ucapan "Astaghfirullahala'zim dan sebaik-baiknya ucapkanlah berulang kali
 
Asstaghfirulla hala'azim .Allazii laa ilaahaiillaa huwal hayyul qayyuumu wa-atuubu ilaihi taubata 'abdizzoolimiin laa yamliku linafsihii dharrau walaa naf'au walaa mautau walaa hayaatau walaa nusyuuraa.

Ertinya:" Aku memohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup dan terus menerus ada ; dan aku bertaubat kepada Nya sebagaimana taubatnya seorang hamba yang banyak dosa, yang tidak mempunyai daya upaya untuk berbuat mudharat atau manfaat untuk mati atau hidup mahu pun ketika dibangkitkan nanti."
 
 

kembali ke menu     seterusnya     kembali ke index